Wednesday, January 2, 2019

BAHAGIA DICARI, DERITA YANG KU DAPAT

Pada tahun 2007, sedang aku sibuk meneliti fail-fail sampul kecil premis-premis taska dan pusat jagaan yang ada disekitar PKMD SPT yang telah  dikenalpasti, tiba-tiba seorang petugas kaunter yang bertugas petang itu mengetuk bilikku.

"Kak, ada satu kes KRT kat kaunter. Dia ada bawa surat rujukan dari polis" terangnya. Aku memandang wajahnya dan merasa sedikit tertekan. Sejak menjaga unit Warga Emas dan Keluarga ni hampir setiap hari aku kena mendengar kisah suami isteri bergaduh dan pukul memukul. Apakah perkahwinan hanya bersandarkan kepada nafsu sahaja.

"kak, nak saya panggil dia masuk dak?" Mengelamun lagi rupanya aku ni.

"haa...panggil dia masuk naaa?" Aku cepat-cepat alihkan fail-fail yang penuh atas meja agar klien tidak melihat meja aku yang bersepah.

"Assalamualaikum Puan" Klien menyapaku  di hadapan pintu bilik.

"Waalaikumussalam wbth.... jemput masuk" Aku hulur tangan dan salamku disambut. Aku meminta klien tersebut duduk di kerusi di hadapan  mejaku.

Ketika dia duduk, aku perasan ada kesan lebam kebiruan di beberapa bahagian wajahnya. Matanya merah dan bengkak kesan menangis yang berlebihan.. andaianku. Dari reaksi tingkahlaku,  cara duduk, dan bahasa badan kilien yang agak sedikit membongkok meramas tangan menjelaskan beliau dalam ketakutan dan kesakitan.

"Puan sudah buat laporan kepada polis" Aku mulakan bicara. Klien mengangguk dan menghulurkan satu sampul surat berisi surat rujukan daripada pihak polis kepada JKM untuk tindakan selanjutnya. Bukan semua kes keganasan rumah tangga akan dirujuk kepada JKM, melainkan mangsa memerlukan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) di bawah seksyen 4 Akta Keganasan Rumah Tangga. IPO ini adalah bertujuan menghalang pelaku berterusan melakukan penderaan terhadap mangsa dan tempoh sah selama mana siasatan polis berjalan. Sebaik sahaja polis selesai siasatan dan kertas siasatan dikemukakan kepada pihak pendakwaan IPO tidak lagi sah. Pada ketika inilah Klien harus diberi penjelasan dan penerangan sebaik-sebaiknya. Klien juga harus diberi penerangan bahawa dalam tempoh IPO tersebut mereka tidak boleh didekati oleh pelaku ini bermakna tidak boleh tinggal serumah.

Setelah meneliti salinan repot polis dan surat rujukan daripada pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 321 Kanun keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera. Pelaku adalah suami klien itu sendiri dan dari kesan fizikal aku nampak beliau menjadi mangsa penderaan fizikal. Dalam akta terdapat tiga jenis penderaan iaitu fizikal, seksual dan emosi. Penderaan emosi adalah paling sukar ditentukan melainkan pengesahan daripada pakar perubatan.

"Sudah berapa lama keadaan ni?"

"Lama dah puan, akak ni dah hampir sepuluh tahun hidup bersama-sama dia. awal-awal dulu oklah, lepas anak sulung lahir dia pun mulalah naik kaki, tangan kat akak. minta maaf pastu buat balik...tak tahan dah" luahnya dengan suara tersekat-sekat.

Sebagai Pekerja Sosial kami telah dilatih untuk bersedia dengan apa juga kemungkinan klien yang hadir. Etika dan prinsip kerja sosial itu sangat penting bagi memastikan ketelusan ketika mengendalikan klien. Kerahsiaan adalah antara perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam pengendalian kes KRT.

Rujukan : Jal Zabdi Bin Mohd Yusoff (2003), Akta Keganasan Rumah Tangga 1994: Langkah mengatasi Keganasan Rumah Tangga.

No comments:

PENGHARGAAN