Wednesday, January 2, 2019

KEMBALI

" Yan dah fikir habis-habis nak berhenti ni" Kak Gie rakan sebilikku memohon kepastian dengan keputusanku itu.

"Ya Kak, Yan nak sambung belajar balik, kebetulan Yan dah dapat kerja di Ipoh. Mak minta Yan balik kak" jelasku. Sedih aku nak berpisah dengan kak Gie, ialah dia orang yang pertama menyapa ketika aku mula-mula masuk ke asrama pekerja tersebut. Beliaulah orang yang selalu menemani aku kerana rezeki kami bekerja di seksyen yang sama dan waktu kerja yang sama. Beliau jugalah teman berbual aku bila kami tinggal berdua sahaja di rumah di waktu rakan serumah yang lain bekerja atau keluar. Beliau jugalah teman merayap aku ke KOMTAR ketika itu. Allah hu akhbar, sedihnya nak berpisah dengan insan yang sangat baik umpama kakakku sendiri. Beliau terlalu baik buatku. Beliau juga sering jadi posmen kepada lelaki-lelaki yang ingin mendekati aku. Namun biasalah aku kekal dengan sikap berhati-hati terhadap lelaki... senang cerita aku ni anti lelaki, jadi mana mungkin ada lelaki ketika itu mendekati aku dengan mudahkan???

"Alahai, siapa nak temankan akak merayap ke KOMTAR dan Pekan Rabu?" Rintihnya. Bertambah sedih pulak aku melihat keadaan kakakku seorang ni.

"Akak kan dah nak kahwin dengan ehemmm tu... ajaklah dia temankan" aku cuba bergurau agar suasana tidak terlalu sedih. Beliau tersipu malu, dan kami ketawa bersama-sama. Beginilah keadaan aku di perantauan. Di usia 20 tahun aku sudah berani merantau ke negeri orang dan menumpang kasih dengan orang lain. Namun kini aku harus kembali setelah merasakan aku perlu lakukan sesuatu demi masa depanku sendiri.

No comments:

PENGHARGAAN