Thursday, January 3, 2019

DEMI IBU

Pada tahun 2016 ketika aku sedang mengendalikan bersiap untuk menjadi urusetia mesyuarat Agensi Teknikal Pendaftaran TASKA dan pusat jagaan peringkat Daerah Klang, Puan "F" dari Pejabat Kesihatan Daerah Klang memaklumkan ada seorang rakannya ingin bertemu denganku berhubung kes keganasan rumah tangga. Beliau meminta izin dari ku untuk menyerahkan nomboer telefon bimbit ku kepada rakannya. Aku menjangkakan mungkin rakannya ini mahu merujuk kes atau bertanyakan pendapat sahaja. Aku bersetuju dan membenarkan nomborku diserahkan kepada rakannya.

Keesokan hari, satu mesej dari pesanan whatsapp masuk ke telefon bimbit dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai perubatan dan ingin menetapkan tarikh pertemuan denganku. Setelah berbincang beliau meminta izinku untuk bertemu pada sebelah petang di pejabat. Aku bersetuju dan berjanji akan menunggu kehadiran beliau.

"Selamat petang, saya ada temujanji dengan Puan Nor Azian" Seorang wanita berketurunan India, cantik orangnya namun kelihatan sedikit pucat dan keletihan lagaknya. Kebetulan aku berada di kaunter sedang memberi penerangan kepada seorang klien prosedur pendaftaran pusat jagaan.

"Kak..." Petugas kaunter memanggilku. Aku anggukkan kepala dan meminta wanita tersebut duduk sebentar. Aku perlu menyelesaikan klien di hadapanku ini terlebih dahulu. Selepas kira-kira 5 menit, aku menjemput wanita tadi masuk ke ruangan bilik rundingcara yang agak tertutup dan terlindung. Kerahsian dan privacy klien adalah sangat penting.

"Jemput duduk puan" Beliau duduk di sofa yang terdapat dalam bilik tersebut. Aku menutup pintu agar perbincangan kami diadakan dalam keadaan tertutup. Aku memilih dudu di sofa di hadapannya dan sedikit kehadapan agar aku boleh memberi perhatian dan menjadi pendengar yang baik. Seorang pekerja sosial harus memastikan kliennya dalam keadaan selesa sebelum memulakan sesi.

"Puan, saya adalah mangsa keganasan oleh suami saya..." dia menyelak lengan baju dan menunjukkan kesan lebam yang ada di beberapa bahagian tubuhnya sebelum aku sempat memulakan bicara. Andaian aku ketika ini ialah klien sudah tidak mampu lagi untuk menahan kesakitan akibat perbuatan suaminya. Klien kelihatan sangat tertekan ketika itu. Klien merupakan mangsa dari golongan profesional yang saya kendalikan sepanjang saya bertugas sebagai pegawai yang bertanggungjawab kes-kes keganasan rumah tangga. 

"Puan, sudah buat laporan polis?" 

"Belum, dan saya tidak boleh buat laporan polis sebab ibu saya.." klien kelihatan sugul dan mula mengalirkan air mata.  


No comments:

PENGHARGAAN