Wednesday, January 2, 2019

AKU MASIH DAHAGAKAN ILMU

"Assalamualaikum" 

"waalaikumussalam" suamiku menjawab salamku di hujung talian. 

"Abang ada kat mana?" 

"ada kat Shazz ni, lapaqlah pulak...awak ada di mana ni?" soal suami kepada saya. 

" Ada kat Seri Muda, baru lepas buat pemantauan TASKA dan Pusat jagaan. Saya belum makan dan rehat lagi ni" Saya merintih pada suami. Benar saya belum rehat dan makan sejak saya keluar dari pejabat di Klang ke Seri Muda, Shah Alam. Sekarang jam telah menunjukkan jam 4 petang. Patutlah perut berkeroncong. Aku hanya sempat berhenti solat di Masjid Padang Jawa dan kembali meneruskan kerja lawatan pemeriksaan mengejut ke premis TASKA dan pusat jagaan. Inilah rutin tugasku sejak bertugas di unit penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang. Aku harus menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut bagi memastikan pengusaha TASKA dan pusat jagaan mematuhi kehendak dan peraturan yang telah termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993.

Selain itu aku juga mengendali kes-kes keganasan rumahtangga yang memerlukan perlindungan dan perintah perlindungan serta khidmat nasihat selaras yang terkandung dalam Akta Keganasan Rumahtangga 1994. Unit penguatkuasaan yang aku kendalikan juga melaksanakan operasi menyelamat pengemis dan kuturayau sebagaimana yang termaktub dalam Akta Orang-orang papa 1977. 

"awat yang buat kerja sampai tak makan, mailah sini?" Tiba-tiba lamunanku terhenti apabila suami menegurku dihujung talian. 

"ok..sat, lagi 10 minit saya sampai" Aku pantas memandu ke arah Restauran Shazz di seksyen 19 yang tidak jauh dari kedudukan aku ketika itu. 

Sedang asyik melayan hidangan dan sambil berbual-bual kosong dengan suami, telefon bimbit saya berdering dengan nombor yang tertera pangkal 04. Aku tunjuk pada suami nombor telefon tu. Suami menyuruh aku menjawab panggilan itu. Aku seret skrin telefon tanda panggilan disambut. Di hujung talian terdengar suara Dr Zarina Mat Saad Penyelia Program Sarjana Kerja Sosial UUM, Sintok. 

"Assalamualaikum Azian, saya Zarina dari UUM Sintok. Azian pernah mesej dan bertanya saya mengenai program post-graduade. Azian masih berminat lagi ker nak sambung Master?" 

Ya Allah, nikmat apakah ini, baru sahaja aku suarakan hasrat untuk menyambung kembali pengajian kepada suami, tiba-tiba panggilan ini masuk. Cepat sungguh Allah menunaikan doaku... ALLAH HU AKHBAR

No comments:

PENGHARGAAN